POLIS mengesahkan punca kematian penuntut Universiti Malaya (UM), yang terjatuh dari bangunan Blok Zainab, Kolej Kediaman 13, semalam adalah akibat kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, bedah siasat juga mendapati tiada kesan jerutan atau sebarang unsur jenayah lain.
“Bedah siasat mendapati mangsa, Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, 22, mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dada,” katanya dalam kenyataan, hari ini dan menambah bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya yang bermula pukul 10 malam semalam, selesai kira-kira jam 3 pagi tadi.
Menurut Shamsudin, jenazah mangsa akan dituntut oleh ahli keluarga pada jam 10 pagi ini bagi urusan pengebumian.
Semalam media melaporkan, Ahmad Arif Zawir ditemui terbaring atas lantai bawah blok kediamannya sekitar jam 3.15 petang.
Mangsa, penuntut Sains Gunaan Pengajian Islam, kemudian dikejarkan ke PPUM untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
UNDILAH |