SEORANG bekas pengurus projek pembinaan didakwa melakukan pecah amanah membabitkan wang RM14,000 bagi kutipan penalti kontraktor untuk projek bangunan komersial milik Tabung Haji, antara 2017 hingga 2018.
Mohamad Hashim Mukhatap, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pengurus pembinaan THP Timur Sdn Bhd, diamanahkan dengan wang kutipan penalti daripada kontraktor, Kelpile Sdn Bhd, sebelum didakwa memasukkan RM14,000 ke dalam akaun bank miliknya sendiri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Sofea Residensi, Seksyen 12, Kota Bharu, antara 15 November 2017 hingga 8 Ogos 2018, lapor BH.
Projek berkenaan membabitkan cadangan pembinaan bangunan komersial 22 tingkat yang mengandungi pangsapuri perkhidmatan, penthouse, kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, aras bawah tanah tambahan serta kemudahan berkaitan di Lot 273, Seksyen 12, Kota Bharu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd Moin.
Terdahulu, Mariah memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi.
Fahmi memohon jaminan RM5,000 dengan alasan anak guamnya kini bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat swasta, mempunyai pendapatan isi rumah RM12,000 sebulan serta menanggung anak yang masih bersekolah dan ibu.
Peguam turut memaklumkan tertuduh memberikan kerjasama kepada SPRM dan mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 19 Oktober ini untuk sebutan semula kes.




