Mat Sabu saman netizen berkaitan dakwaan rasuah bekalan baja

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan kepada pemilik akaun media sosial yang menuduhnya terlibat dalam rasuah berhubung kes pembekalan baja di Kedah.

Menurut beliau, tidak menjadi masalah untuk menyuarakan pandangan mengenai isu tertentu di internet, namun menyebarkan tuduhan berunsur fitnah tanpa asas serta sindiran berniat jahat adalah salah.

“Saya sudah meminta peguam menghantar surat tuntutan kepada pemilik akaun yang terbabit. Media sosial memberi ruang kepada semua untuk bersuara, tetapi setiap kenyataan perlu dibuat secara bertanggungjawab,” katanya dalam hantaran di Threads.

Hantarannya turut memuatkan tangkap layar hantaran Facebook yang mendakwa menteri itu ‘terlepas’ daripada tindakan dalam siasatan rasuah, manakala mereka yang ditahan setakat ini hanyalah kontraktor.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati sebuah syarikat membekalkan 333,655 daripada 616,015 beg baja yang diperlukan kira-kira 60,000 pesawah di Kedah bagi musim pertama 2026 setakat September, menyebabkan kekurangan 282,360 beg.

Syarikat itu dilantik kementerian untuk membekalkan baja kepada pesawah di kawasan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Pengarah urusan syarikat itu kini direman sehingga esok, manakala SPRM berkata, Mohamad dan Ketua Setiausaha kementeriannya mungkin dipanggil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mohamad turut mengarahkan setiap organisasi di bawah kementeriannya memperkukuh tahap tadbir urus bagi memastikan ia diurus mengikut undang-undang, secara telus dan berintegriti.

“Sebarang ketidakpatuhan, kelemahan pengurusan atau isu yang boleh menjejaskan kepentingan awam mesti dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil.

“Pengurusan agensi dan anak syarikat juga mesti memastikan setiap keputusan, perolehan dan penggunaan dana awam dilaksanakan secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here