SEORANG lelaki warga Indonesia dihukum penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar 178.7 gram methamphetamine di Terminal Feri Tawau, ketika hendak pulang ke negaranya, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman terhadap Rudi Jalil, 41, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Rudi yang bekerja sebagai petani di Sulawesi Selatan, Indonesia, didakwa mengedar 178.7 gram methamphetamine di ruang menunggu Terminal Feri Tawau pada jam 10.10 pagi, 11 Oktober 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Prosiding kes bermula 10 Jun lalu dengan pihak pendakwaan memanggil lima saksi, manakala pembelaan menjadikan tertuduh sebagai saksi tunggal bermula 11 Ogos lalu.
Dalam rayuan meringankan hukuman, peguam Jhesseny P Kang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira anak guamnya pesalah kali pertama selain telah insaf dan menyesali perbuatannya.
Peguam itu turut merujuk Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan memohon agar tertuduh diberikan peluang kedua, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memohon hukuman berat atas faktor pencegahan serta kepentingan awam yang perlu mengatasi kepentingan peribadi tertuduh.
Menurutnya, tertuduh ditangkap di jeti bersama dadah yang disembunyikan pada tubuhnya, menunjukkan kesungguhan untuk membawa bahan berkenaan keluar dari negara ini.
Beliau berkata, tindakan tertuduh juga menunjukkan dia tidak menghiraukan risiko walaupun mengetahui terdapat pemeriksaan di terminal berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ketika itu hendak menaiki feri dari Terminal Feri Tawau menuju ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Hasil pemeriksaan badan, dua paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan dipercayai dadah ditemukan dilekatkan pada bahagian perut tertuduh menggunakan pita hitam.
Dua lagi paket ditemukan di dalam seluar dalam berwarna coklat gelap yang dipakainya.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan empat paket berisi kristal di dalam kasut Nike milik tertuduh, masing-masing dua paket pada setiap kasut.
Analisis mendapati keseluruhan bahan berkenaan mengandungi 178.7 gram methamphetamine.





