Bapa tujuh anak bebas tuduhan edar 39 kilogram syabu

SEORANG buruh yang menanggung tujuh anak dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini daripada dua pertuduhan mengedar 39.36 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan tertuduh secara langsung dengan dadah yang ditemukan di sebuah rumah yang didakwa digunakan sebagai lokasi penyimpanan.

Hakim Mohd Rosli Yusoff dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan hanya tertuduh, Amran Salleh, 53, mempunyai milikan dan kawalan ke atas rumah tidak bernombor di Kampung Jeram Perdah yang menjadi lokasi rampasan.

Menurutnya, keterangan saksi menunjukkan rumah berkenaan tidak berkunci dan boleh dimasuki sesiapa sahaja selain digunakan sebagai lokasi transit barangan termasuk minyak masak yang dipercayai diseludup ke Thailand.

“Milikan dan kawalan akses tidak dapat dibuktikan kerana pintu rumah terbabit tidak berkunci dan sesiapa sahaja boleh masuk.

“Malah, saksi juga mengesahkan rumah kosong itu digunakan sebagai tempat transit barang sebelum dibawa ke Thailand,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tertuduh dilepaskan serta dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Mengikut pertuduhan pertama, Amran didakwa mengedar 9,740.87 gram methamphetamine di sebuah rumah tidak bernombor di Jeram Perdah, Pasir Mas pada jam 4.30 petang, 7 Jun 2021.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa mengedar 29,626.4 gram methamphetamine di lokasi, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahkamah Tinggi, Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Ahmad Nizam Mohamed.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img