MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi menyampaikan Warkah Persilaan ke sambutan Hari Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam esok.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, kunjungan itu bertujuan memaklumkan perkembangan terkini mengenai status persiapan akhir acara kemuncak itu, yang dijangka bermula pada 8.15 malam dan berakhir kira-kira 10.30 malam.
“Alhamdulillah, kunjungan hormat telah berjalan dengan sangat baik. Saya bersama Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah telah menyembahkan Warkah Persilaan kepada Tun bagi majlis sambutan esok.
“Semua persiapan telah dimaklumkan berjalan dengan baik. Ada beberapa aspek teknikal yang akan diperkemas dan insya-Allah acara akan berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat itu di Astana Negeri Sarawak, hari ini, lapor Bernama.
Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Fahmi berkata, Wan Junaidi turut berkongsi pengalaman luas beliau, terutamanya sewaktu berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, Fahmi turut memaklumkan perkembangan penerbitan sebuah buku khas mengenai Wan Junaidi oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta beberapa acara sisipan lain, termasuk majlis kesyukuran di Masjid Jamek Negeri dan Pameran Hari Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan.
Yang turut hadir dalam kunjungan hormat berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia 2026, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Kira-kira 5,000 orang dijangka memeriahkan Sambutan Hari Malaysia di BCCK, yang akan dihadiri Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut dijadual menghadiri acara bermula 8.15 malam itu.





