POLIS meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat kebajikan sejak 25 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, dua remaja berkenaan ialah Mina Chong Xin Yee dan Emily Chau Jing Xuan, masing-masing berusia 14 tahun.
Menurutnya, alamat terakhir kedua-dua remaja itu direkodkan di Holy Word Church, Jalan Harmonium 33/1, Taman Desa Tebrau, Johor Bahru.
“Xin Yee mempunyai kulit cerah, rambut perang paras bahu, memakai cermin mata dan berketinggian 165 sentimeter.
“Emily pula memiliki kulit cerah, rambut hampir mencecah paras pinggang serta berketinggian 163 sentimeter.
“Kedua-dua remaja itu dilaporkan hilang kira-kira jam 8.30 pagi pada 25 Oktober lalu,” katanya menerusi hebahan di Facebook.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan mereka diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Amirul Fikrie Nik Zulkifli di talian 011-43968591





