MAJLIS Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan hari ini menegaskam, isu Surat Cara Proklmasi hendaklah dilihat berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaaan Negeri Sembilan dan prinsip Raja Berperlembagaan bukan persoalan politik atau peribadi.
Dalam satu kenyataan majlis itu menegaskan lima perkara berkaitan isu yang mempunyai kesan terhadap kedudukan Yang Dipertuan Besar iaitu:
PERTAMA, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar. Kedudukan dan proses yang berkaitan dengan Yang Dipertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
KEDUA, sesuatu Proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa Perlembagaan. Persoalan yang perlu ditentukan ialah apakah sumber kuasa bagi Proklamasi tersebut, apakah syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh, dan sama ada kesemua syarat tersebut telah dipatuhi.
Dalam konteks Perkara 10 UUTKNS 1959, peruntukan Perlembagaan menetapkan kerangka khusus berhubung tindakan terhadap kedudukan Yang Dipertuan Besar, termasuk keperluan yang berkaitan dengan proses dan Proklamasi.
KETIGA, penglibatan Menteri Besar dalam proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh tidak bermaksud Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri kedudukan Yang Dipertuan Besar.
Sebaliknya, apabila Perlembagaan menetapkan peranan atau tindakan tertentu kepada Menteri Besar, peranan tersebut hendaklah dilaksanakan dalam batas dan menurut kehendak UUTKNS 1959.
KEEMPAT, isu ini bukan mengenai siapa mempunyai kuasa politik yang lebih besar. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, kuasa mesti bersumberkan Perlembagaan dan undang-undang. Institusi Diraja, Undang, Menteri Besar dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh.
KELIMA, isu utama ialah kesahan dan kesan undang-undang Proklamasi tersebut. Maka, isu yang wajar ditentukan ialah :-
Isu sumber kuasa perlembagaan bagi Proklamasi tersebut ; Isu syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh UUTKNS 1959 ; dan Adakah kesemua syarat serta prosedur tersebut telah dipatuhi sehingga Proklamasi tersebut mempunyai kesan undang-undang seperti yang didakwa.
Persoalan sebesar ini hendaklah diselesaikan melalui proses Perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman sekiranya timbul pertikaian undang-undang.
Kata kenyataan itu, Menteri Besar menghormati sepenuhnya Institusi Yang Dipertuan Besar, Undang Yang Empat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
‘’ Apa yang perlu dipertahankan ialah bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan.
‘’Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas. Proses Perlembagaan mesti dihormati. Institusi mesti dipelihara,’’ kata kenyataan berkenaan.





