Malaysia-Maldives meterai kerjasama pertahanan, hal ehwal Islam

MALDIVES dan Malaysia memperkukuh hubungan institusi kedua-dua negara menerusi perjanjian kerjasama baharu dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam, sambil menegaskan kembali pendirian bersama mengenai isu Palestin dan perubahan iklim.

Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu berkata, perjanjian yang disaksikan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan membuka ruang baharu bagi kerjasama praktikal antara kedua-dua negara.

“Hari ini, kita turut menyaksikan pertukaran perjanjian kerjasama baharu dalam dua bidang penting, iaitu kerjasama pertahanan dan akidah Islam.

“Perjanjian-perjanjian ini membuka ruang baharu untuk kerjasama praktikal dan seterusnya memperkukuh asas institusi bagi hubungan dua hala kita,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri di Pejabat Presiden Maldives di Male hari ini, lapor Buletin TV3.

Mengenai isu antarabangsa, Muizzu berkata, Maldives dan Malaysia kekal bersatu atas dasar nilai-nilai Islam yang dikongsi bersama serta komitmen bersama terhadap keadilan, keamanan, dan martabat insan.

Beliau berkata, kedua-dua negara menegaskan semula “solidariti yang tegas dan tidak berbelah bahagi” dengan rakyat Palestin serta hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Muizzu turut menyambut baik penglibatan Maldives yang lebih rapat dengan ASEAN dan mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan mempengerusikan ASEAN tahun lalu.

Mengenai perubahan iklim, beliau berkata, Maldives dan Malaysia telah menegaskan semula kepentingan mendesak untuk menangani ancaman tersebut menjelang COP31 di Türkiye pada November.

“Bagi Maldives dan negara-negara pulau kecil yang sedang berkembang, perubahan iklim bukanlah satu cabaran yang jauh; ia adalah satu realiti serta-merta,” katanya.

Muizzu menggesa pembiayaan penyesuaian iklim yang boleh diramal, mudah diakses, dan mencukupi, sambil mengekalkan usaha untuk memastikan kenaikan suhu global kekal di bawah ambang kritikal 1.5 darjah.

Beliau turut menyifatkan lawatan Anwar sebagai pengesahan semula kepada “hubungan persaudaraan yang mendalam, rasa hormat, dan kepercayaan antara satu sama lain” bagi kedua-dua negara.

“Maldives dan Malaysia bukan sekadar rakan karib; kita adalah saudara, yang diikat oleh nilai, aspirasi, dan komitmen bersama ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here