Integriti bukan sekadar slogan tetapi tindakan – Azmi

SAMBUTAN Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak harus dilihat sekadar acara tahunan, sebaliknya perlu dihayati dan dimaknai menerusi komitmen jitu terhadap integriti serta pemantapan amanah dalam membanteras amalan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk  Azmi Kamaruzaman berkata, bagi seluruh warga SPRM, kemerdekaan hakiki menuntut kebebasan daripada rasuah, salah guna kuasa, dan budaya yang merosakkan amanah demi memelihara kedaulatan serta kepercayaan rakyat terhadap negara.

Menurutnya, perjuangan membanteras rasuah merupakan komponen penting dalam pembinaan negara bangsa di mana nilai integriti mesti diterjemahkan secara nyata melalui tindakan harian warga SPRM.

“Integriti tidak boleh sekadar menjadi slogan atau perkataan pada poster, sebaliknya mesti diterjemahkan menerusi tindakan harian warga SPRM semasa membuat keputusan, melaksanakan tugas, menjaga kerahsiaan, serta menegakkan keadilan tanpa rasa gentar atau pilih kasih,” katanya semasa berucap di Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 Peringkat SPRM di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya hari ini.

Sebahagian warga SPRM yang menghadiri Program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 Peringkat SPRM di Putrajaya.

Kata beliau, kekuatan dan kredibiliti SPRM sebagai sebuah institusi bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan rakyat yang dibina menerusi konsistensi, ketelusan, dan profesionalisme.

“Jadikan kepelbagaian latar belakang dalam organisasi ini sebagai sumber kekuatan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan yang kukuh demi merealisasikan sebuah negara yang bersih daripada rasuah,” katanya.

Pada program itu, Azmi turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Video Kreatif Bertemakan Perpaduan yang dimenangi oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM di tempat pertama, Bahagian Perisikan SPRM di tempat kedua dan Bahagian Keselamatan di tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai, sijil penghargaan dan hamper.

Peserta program turut mengikuti sesi perkongsian ilmu oleh Ketua Unit Penyelidikan Khas Jabatan Peguam Negara, Tuah Yussof bertajuk Kepentingan Pengurusan Rekod dan Kedaulatan Negara serta persembahan koir kumpulan Ritma Vaganza dari Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat SPRM.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional, DatukIdris Zaharudin; Pengarah -pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here