Pemandu lori mengaku ambil dadah sejak 15 tahun ditahan dalam operasi

SEORANG pemandu lori berusia 43 tahun yang mengaku mengambil dadah sejak 15 tahun lalu ditahan selepas didapati positif methamphetamine dalam pemeriksaan di Plaza Tol Jitra, malam tadi.

Lelaki berasal dari Pendang itu dikesan positif menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam Ops Bersepadu Khas Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan kira-kira jam 10 malam.

Menurutnya, dia mengambil dadah dengan alasan mahu kekal bertenaga dan mengurangkan rasa mengantuk ketika memandu lori membawa muatan simen dari Perlis ke Perak.

Lelaki yang mempunyai tiga anak itu berkata, dia mula mengambil bahan terlarang berkenaan selepas kelahiran anak keduanya dan mendakwa pengaruh rakan menjadi antara punca dia terjebak.

Dia juga memaklumkan baru setahun bekerja sebagai pemandu lori dengan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, suspek telah diserahkan kepada AADK untuk siasatan lanjut.

Katanya, perbuatan mengambil dadah ketika memandu amat berbahaya kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Operasi bersepadu itu turut membabitkan JPJ Kedah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah. Sejak Julai hingga kini, seramai enam pemandu lori dan bas ekspres telah dikesan positif methamphetamine.

Menurut Stien, lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen vokasional mereka boleh ditahan sehingga proses siasatan serta tindakan AADK selesai, manakala lesen vokasional boleh digantung selama tiga bulan tertakluk kepada peruntukan yang ditetapkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here