JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 51 buah kenderaan mewah bernilai kira-kira RM14 juta, selain mengeluarkan 137 notis menerusi Op Luxury yang bermula Januari hingga semalam.
Pengarahnya, Zulkifly Ismail berkata, tindakan sitaan dibuat akibat kegagalan pemilik memperbaharui cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM).
Menurutnya, kebanyakan pemilik kenderaan mewah terbabit terdiri daripada golongan kenamaan dan ahli perniagaan.
“Antara kenderaan mewah yang disita adalah BMW, Mercedes-Benz, Toyota, Jaguar, Porsche, Hummer, Lexus, Mini Cooper, Range Rover dan Ford Mustang.
“Berikutan kegagalan pemilik memperbaharui cukai jalan, ia menyebabkan berlaku ketirisan hasil kerajaan sebanyak RM175,236.92,” katanya.
Menurutnya, sebuah Ford Mustang yang disita merekodkan tunggakan cukai jalan tertinggi iaitu RM10,909.50, manakala sebuah BMW model 323i E90 dikesan paling lama tidak memperbaharui cukai jalan sejak 5 Jun 2020.
Beliau berkata, sepanjang operasi bagi tempoh Jun hingga Disember 2025 pula, pihaknya telah menyita 73 kenderaan mewah dengan nilai ketirisan hasil kerajaan mencecah sebanyak RM88,000 atas kesalahan sama.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara alasan yang sering diberikan pemilik kenderaan ialah terlupa memperbaharui cukai jalan dan hanya menggunakan kenderaan sekali-sekala.
“Ia semua alasan lapuk dan kita tidak akan berkompromi,” katanya.


