DULI Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman di Istana Selangor di Bukit Kiara pada Isnin lalu.
Pertemuan itu memberi ruang kepada Abd Halim menyampaikan taklimat mengenai perkembangan semasa SPRM, selain berkongsi inisiatif pencegahan rasuah yang sedang dilaksanakan, khususnya di Selangor.
Dalam sesi berkenaan, pelbagai perkara berkaitan usaha memperkukuh pencegahan rasuah dan tadbir urus turut dibincangkan.
Abd Halim menzahirkan penghargaan serta menjunjung kasih atas perkenan Raja Muda Selangor menerima menghadap dan meluangkan masa mendengar taklimat berkaitan peranan serta perkembangan terkini SPRM.
Beliau turut menghargai sokongan dan keprihatinan baginda terhadap usaha berterusan SPRM dalam membanteras rasuah serta memperkukuh amalan tadbir urus yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
Sesi menghadap itu merupakan sebahagian daripada agenda rasmi Abd Halim selepas beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 13 Mei 2026.





