“Nak bincang kerusi masih awal, bina suasana positif dulu” – Sanusi

PAS dan UMNO Kedah memilih untuk membina suasana lebih positif terlebih dahulu sebelum membuka ruang kepada perbincangan lebih serius mengenai kerjasama politik antara kedua-dua parti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini belum ada sebarang permintaan rasmi daripada UMNO berhubung bentuk kerjasama termasuk perkara berkaitan pembahagian kerusi.

“Masih terlalu awal bincang agihan kerusi. UMNO pun tidak ada meminta apa-apa lagi. Belum ada permintaan khusus, kita masih di peringkat awal.

“Akan ada susulannya nanti. Apabila di peringkat Pusat ada keputusan tertentu berhubung kerjasama dua parti ini, kita akan bertemu semula,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat pimpinan UMNO Kedah di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar malam tadi, lapor Harian Metro.

Muhammad Sanusi berkata, pertemuan itu tidak boleh dianggap sebagai permulaan kerjasama rasmi antara Pas dan UMNO di Kedah, sebaliknya lebih kepada usaha mewujudkan hubungan dan suasana yang baik sebelum sebarang perbincangan lebih serius dilakukan.

“Ini bukan (kerjasama rasmi). Kita bentuk dulu ‘environment‘ (suasana) yang positif. Perlu ada suasana positif, baru boleh dilanjutkan dengan perbincangan.

“Ini prosesnya. Sembang santai, kunjung hormat UMNO Kedah kepada Pas Kedah dan perbualan tentang senario politik semasa,” katanya.

Kunjungan UMNO Kedah itu diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan turut disertai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Ketua UMNO Bahagian Jerlun merangkap Pengarah War Room BN Kedah, Datuk Othman Aziz serta Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man.

Sementara itu, Pas Kedah diwakili Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yahya; Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi dan Setiausaha Pas Kedah, Senator Musoddaq Ahmad.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada pemimpin kedua-dua parti bertukar pandangan mengenai pengalaman politik serta hala tuju Kedah.

Menggambarkan pertemuan itu secara berseloroh sebagai pertemuan ‘orang tua-tua’, beliau menjelaskan ia merujuk kepada pemimpin yang mempunyai pengalaman luas serta memahami selok-belok politik negeri berkenaan.

“Orang tua-tua ini maksudnya yang ada pengalaman, ada kefahaman yang cukup, mahir selok-belok Kedah. Jadi kita sembanglah.

“Saya berterima kasih kepada semua ‘otai-otai’ UMNO yang berkunjung ke kediaman rasmi Menteri Besar. Kami sembang, berkongsi pengalaman masa lalu dan jangkaan masa depan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here