DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan pembangunan negara perlu dirasai secara menyeluruh tanpa mengira lokasi atau latar belakang masyarakat.
Menurut Perdana Menteri, sambutan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati pembentukan negara, sebaliknya menjadi peringatan untuk terus memperkukuh perpaduan serta memastikan kemajuan dapat dikongsi bersama.
Anwar berkata, 16 September juga mengingatkan rakyat mengenai hubungan antara kerajaan dengan rakyat serta kepentingan keadilan antara wilayah dan Persekutuan.
“Kita mesti mengakui bahawa terdapat masa dalam perjalanan negara ini apabila kita tersasar, apabila isu perkauman dieksploitasi, jurang pembangunan antara wilayah dibiarkan melebar dan perbezaan dijadikan tembok serta garis pemisah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata, usaha pembangunan perlu dilakukan secara adil supaya tiada wilayah berasa terpinggir dan tiada komuniti merasakan diri mereka tersisih daripada kemajuan negara.
Menurutnya, walaupun Laut China Selatan memisahkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dari sudut geografi, keadaan itu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada cita-cita bersama sebagai sebuah negara.
“Laut mungkin memisahkan kita, tetapi bukan aspirasi dan harapan nasional kita,” katanya.
Anwar turut menyifatkan kepelbagaian masyarakat dan wilayah di Malaysia sebagai kekuatan yang boleh menjadi asas kepada pembentukan negara yang lebih bersatu.
Beliau berkata, semangat Hari Malaysia perlu diterjemahkan melalui pembangunan yang turut memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira tempat tinggal.
“Selamat Hari Malaysia!” katanya.





