SEBANYAK 37 kawasan di Semenanjung merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat kerana persekitaran cuaca kering berterusan di sebahagian rantau selatan ASEAN.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, sebanyak 240 titik panas dikesan di Kalimantan, 355 di Sumatera dan satu titik panas dikesan di Malaysia iaitu di Sabah.

“ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan, Sumatera, Semenanjung, Singapura serta bahagian selatan Vietnam dan Kemboja.
“Kepulan asap sederhana turut diperhatikan di Sulawesi Tengah dan Sulawesi Utara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azuri berkata, sebanyak 37 kawasan di Semenanjung mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat di laman sesawang JAS setakat jam 3 petang ini.
“Sebanyak 25 kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana, manakala enam lagi kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik.
“Antara kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat adalah Johan Setia; (184); Kuala Lumpur (175); Nilai (172); Shah Alam (171); Putrajaya (171) dan Batu Muda (170).
“Kawasan lain yang turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat adalah Seremban (167); Minden (166); Seri Manjung (166); Balik Pulau (165) dan Petaling Jaya (164),” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran di Sarawak khususnya membabitkan kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah kerana risiko kebakaran lebih tinggi dalam keadaan cuaca panas dan kering.
“Kebakaran di kawasan berkenaan berpotensi menghasilkan asap dan pelepasan bahan pencemar yang boleh menjejaskan kualiti udara setempat sekiranya tidak dikawal.
“Di Sarawak, kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei membabitkan kawasan seluas 1.5 hektar.
“Setakat hari ini, kira-kira 1.3 hektar (87 peratus) berjaya dipadamkan, manakala baki masih dalam tindakan pemadaman,” katanya.
Menurutnya, JAS Sarawak akan terus melaksanakan pemantauan di lokasi kebakaran termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini mengenai status kebakaran dan keluasan kawasan terjejas.
“Pemantauan kualiti udara turut dilaksanakan bagi menilai potensi kesan kebakaran terhadap kualiti udara setempat, manakala tindakan susulan akan diambil berdasarkan keadaan di lapangan dan hasil penilaian bersama agensi berkaitan.
“Dalam konteks kawalan pencemaran udara, JAS akan terus memberi perhatian terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan kejadian kebakaran berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
“Pemantauan akan dipertingkatkan sekiranya berlaku peningkatan pencemaran udara, manakala tindakan sewajarnya akan diambil mengikut bidang kuasa undang-undang bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam,” katanya.





