MALAYSIA dan India dijangka mengkaji semula rangka kerja perdagangan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, dengan kedua-dua pihak berusaha mewujudkan aliran barangan yang lebih seimbang serta meningkatkan perdagangan dua hala.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, isu lebihan dagangan Malaysia dengan India menjadi antara perkara utama dibincangkan pada pertemuan beliau dengan Menteri Perdagangan India, Piyush Goyal, di New Delhi baru-baru ini.

Beliau berkata, India menekankan kepentingan hubungan perdagangan yang lebih seimbang, khususnya ketika Malaysia kini mencatat lebihan dagangan yang besar dengan negara berkenaan.
“Menteri itu menekankan kepentingan mengekalkan imbangan perdagangan yang baik sebagai sebuah negara yang berdagang dengan India.
“Buat masa ini, kita mencatat lebihan yang agak besar dengan India, manakala perkara lebih membimbangkan mereka ialah jumlah lebihan dagangan negara-negara ASEAN telah mencecah RM42 bilion,” katanya, lapor Buletin TV3.
Pada 2025, Malaysia mencatat lebihan dagangan sebanyak RM25.37 bilion dengan India, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM79.33 bilion, susut lima peratus berbanding RM83.5 bilion (AS$18.25 bilion) pada 2024.
Johari berkata, Malaysia perlu memanfaatkan pasaran pengguna India yang luas, iaitu kira-kira 1.4 bilion hingga 1.5 bilion penduduk, untuk mengembangkan perdagangan dua hala, bukannya hanya memberi tumpuan kepada eksport.
Dengan jumlah penduduk Malaysia kira-kira 34 juta, katanya, terdapat ruang besar untuk syarikat tempatan menembusi pasaran India yang luas, selain meningkatkan import, pelaburan dan kerjasama komersial antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, Malaysia turut melihat langkah memperkukuhkan perdagangan antara ASEAN dan India, di samping usaha mempertingkat rangka kerja perdagangan dua hala antara Malaysia dengan India.
“Menteri Perdagangan India sangat berminat meneroka perkara ini dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, termasuk bagaimana kita boleh mengkaji semula Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) supaya kedua-dua negara dapat memanfaatkan pasaran masing-masing dan meningkatkan perdagangan,” katanya.
Johari berkata, perbincangan itu adalah sebahagian daripada strategi lebih luas Malaysia untuk mempelbagaikan rakan dagang, khususnya ketika corak perdagangan global terus berubah.
“Kita tidak boleh hanya berdagang dengan satu atau dua negara. Kita mahu berdagang dengan semua negara, terutama yang mempunyai jumlah penduduk besar,” katanya.
Beliau berkata, peluasan ke pasaran besar akan memberi lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk berkembang, selain membantu negara mempelbagaikan perdagangan dengan rangkaian rakan dagang yang lebih luas.
Johari berkata, lawatan tiga harinya ke India turut membuka peluang kerjasama lebih rapat dalam bidang termasuk industri automotif dan minyak sawit, selain usaha lebih menyeluruh untuk memperkukuhkan perdagangan serta pelaburan dua hala.
Beliau berkata, objektif Malaysia bukan sekadar meningkatkan eksport ke India, sebaliknya membina hubungan perdagangan lebih seimbang dengan mewujudkan peluang kepada perniagaan di kedua-dua negara.
“Sebagai sebuah negara kecil, kita mahu melihat bagaimana kita boleh bekerjasama dengan India yang mempunyai jumlah penduduk yang besar dan mewujudkan situasi menang-menang untuk kedua-dua negara, bukannya hubungan satu hala,” katanya.
Sementara itu dalam satu hantaran melalui media sosial, Goyal berkata, pertemuan itu meneliti hubungan ekonomi India-Malaysia, dengan perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, menambah baik akses pasaran serta memperkukuhkan jaringan rantaian bekalan dalam bidang yang mempunyai kekuatan saling melengkapi.
Beliau berkata, India kekal komited bekerjasama rapat dengan Malaysia secara dua hala dan menerusi kerangka India-ASEAN, bagi merealisasikan sepenuhnya potensi hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua pihak.





