DATUK Seri Anwar Ibrahim memandang serius insiden sebuah dron yang dilaporkan berjaya dipintas berhampiran Makkah al-Mukarramah.
Perdana Menteri menegaskan sebarang cubaan mengancam keselamatan serta kesucian kota suci umat Islam itu sama sekali tidak boleh diterima.
“Saya memandang serius laporan bahawa sebuah dron telah dipintas berhampiran Makkah al-Mukarramah. Sebarang cubaan untuk mengancam keselamatan dan kesucian kota paling suci dalam Islam sama sekali tidak boleh diterima,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Anwar turut menyatakan penghargaan Malaysia terhadap tindakan pantas Kerajaan Arab Saudi dalam memastikan keselamatan penduduk serta jemaah yang berada di Makkah.
Menurut beliau, insiden berkenaan menunjukkan keperluan segera untuk mengelakkan konflik di rantau itu daripada terus memuncak.
“Malaysia menyeru agar serangan terhadap tapak awam dihentikan serta-merta, begitu juga sebarang tindakan yang boleh membahayakan tapak suci,” katanya.
Perdana Menteri turut menggesa semua pihak berkaitan supaya mengutamakan sikap menahan diri dan menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi rundingan secara aman tanpa berlengah.





