Tabung Kasih@HAWANA X TM bantu waris mendiang James Ritchie dan Uleyvia

WARIS wartawan veteran Sarawak, mendiang James Alexander Ritchie hari ini menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Sarawak, dalam satu kunjungan ke kediaman keluarga mendiang di Kuching hari ini.

MENDIANG James Alexander Ritchie

Mendiang James meninggal dunia akibat serangan jantung pada 3 Mei 2025 pada usia 75 tahun dan pernah menerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang kewartawanan.

Menurut Sekretariat HAWANA, sumbangan berkenaan bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap jasa bakti mendiang sepanjang kerjayanya, malah mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan keluarga pengamal media.

“Sumbangan kepada waris mendiang merupakan tanda penghargaan terhadap jasa bakti beliau sepanjang kerjayanya, selain mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan keluarga pengamal media,” katanya kenyataan Sekretariat HAWANA hari ini.

Kerjaya mendiang James dalam bidang media bermula pada 1971 sebagai wartawan kadet New Straits Times (NST), sebelum berkhidmat sebagai wartawan NST Sarawak pada 1981.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak pada 1998 sebelum menyertai Sarawak Digest sebagai Perunding Media pada 2022.

Yang turut hadir pada penyampaian sumbangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Dalam perkembangan sama, sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM turut disampaikan kepada veteran industri penyiaran, Uleyvia Anak Ubang, 58, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak 2015 dan kini menjalani rawatan dialisis secara berkala.

DATUK Abdul Halim Hamzah menyantuni veteran industri penyiaran, Uleyvia Anak Ubang yang menghidap penyakit buah pinggang kronik di kediamannya di Kuching hari ini

Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah bersama Datin Paduka Nur-ul Afida dan Arul Rajoo dalam satu lawatan berasingan.

Uleyvia mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam industri penyiaran dan berkhidmat bersama Cats FM sejak 1996.

Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA yang menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.

Sejak peruntukan berkenaan mula disalurkan pada Jun 2026, seramai 77 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi inisiatif tersebut.

Secara keseluruhan, seramai 847 pengamal media menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif berkenaan diperkenalkan pada April 2023.

Inisiatif yang diterajui Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here