HARGA runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik 35 sen seliter bagi tempoh 17 hingga 23 September ini.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bagi tempoh berkenaan, harga RON97 ditetapkan pada RM4.85 seliter berbanding RM4.50 sebelum ini, RON95 tanpa subsidi pada harga RM4.37 seliter berbanding RM4.02 dan diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada 5.27 seliter berbanding RM4.92 sebelum ini.
Pada masa sama, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah BUDI Madani RON95 (BUDI95) dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel).
Dalam pada itu, MoF memaklumkan, peningkatan harga bahan api itu didorong oleh konflik di Asia Barat yang memasuki tempoh 200 hari.
Jelas kenyataan itu, Iran menyerang 10 kapal berhampiran Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS)ke atas lima kapal tangki Iran, manakala serangan turut merebak ke Yaman dan infrastruktur tenaga Arab Saudi.
“Trafik kapal melalui Selat Hormuz merosot ke paras satu angka susulan peningkatan serangan tersebut. Keadaan bertambah buruk apabila serangan dron menyebabkan operasi saluran paip East-West Arab Saudi, antara laluan utama yang memintas Selat Hormuz, dihentikan sementara.
“Rundingan antara Iran dan negara-negara Teluk mengenai keselamatan laluan perkapalan turut ditangguhkan. Perkembangan ini mendorong harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS$100 setong dan mencecah hampir AS$110 setong dalam tempoh pengiraan mekanisme harga automatik (APM),” katanya.
Kerajaan MADANI katanya, akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.




