PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah dipanggil memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan mengenai dakwaan tawaran kerjasama Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.
Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, keterangan Ahli Parlimen Marang itu diambil beberapa hari lalu.
“Tan Sri Tuan Guru (Abdul Hadi) sudah beri keterangan kepada pihak polis beberapa hari lalu di Kuala Lumpur.
“Difahamkan perkara berkenaan masih dalam proses siasatan, beberapa saksi turut dipanggil.
“Selanjutnya, Tuan Guru serahkan kepada pihak polis dan tidak mahu mengulas lanjut bagi menghormati proses siasatan,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi pada ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-72 pada 5 September lalu mendakwa beberapa pemimpin Pas pernah dijemput mengadakan pertemuan dengan Kedutaan AS ketika Presiden Barack Obama melawat Malaysia pada 2014, dengan pihak asing didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu.
Bagaimanapun, Kedutaan AS menafikan dakwaan Abdul Hadi yang mendakwa wakil negara itu pernah menawarkan bantuan kepada parti Islam berkenaan untuk menjatuhkan kerajaan BN.
David H Gamble Jr, yang kini mengetuai Kedutaan AS di Kuala Lumpur menyatakan, negaranya tidak pernah mencuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia.
Susulan itu, PDRM membuka siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan menerima 12 laporan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, sebanyak 12 keterangan diambil setakat ini berhubung dakwaan berkenaan.





