PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan bersetuju untuk merasmikan Konvensyen Reset yang akan diadakan di Tanah Merah, Kelantan esok.
Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Mohd Syahir turut memaklumkan esok akan berlangsung dua peristiwa penting.
“Tan Sri Abdul Hadi menerima undangan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dan bersetuju untuk hadir merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan.
“Ceramah perdana di Negeri Sembilan pula, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan menerima kemasukan lebih 10 tokoh (profesional, korporat, pentadbiran) untuk menyertai Pas,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, pada masa sama, sedang berlangsung mesyuarat agung Pas kawasan di seluruh negara, dengan ahli dan cawangan yang bertambah.
“PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) dan SRITI (Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam) yang dibuka, serta aktiviti kebajikan yang berterusan,” katanya lagi.






