PRN Negeri Sembilan: PN utamakan kemenangan, bukan siapa di hadapan – Hadi

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Perikatan Nasional (PN) pernah mengetepikan kepentingan politik sendiri apabila memilih meletakkan UMNO di barisan hadapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor demi memastikan kemenangan gabungan itu.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas PN berpandangan Johor berdepan risiko bertukar tangan jika berlaku pertembungan sesama sendiri.

Katanya, walaupun UMNO ketika itu menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, PN tetap mengambil pendekatan bekerjasama bagi mengelakkan negeri berkenaan jatuh kepada pihak lain.

“Walaupun Johor mendapat majoriti besar pada UMNO, 40 kerusi daripada 56 kerusi. Tapi bila saya melihat barisan calon-calon PH yang begitu rupa, tokoh-tokoh yang besar.

“Kami bimbang Johor akan jatuh. Kuasa UMNO akan jatuh pada kuasa yang lain yang merosakkan negara.

“Kami mengambil langkah mesti selamatkan Johor,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Biru-Kan Seremban di Dewan Perdana KRS, malam tadi.

Menurut Hadi, atas pertimbangan itu PN memberi laluan kepada UMNO mengetuai pertandingan, manakala PAS dan parti-parti lain dalam gabungan memainkan peranan sebagai pasukan sokongan.

“Bila buat Johor kami berfikir di Johor ini UMNO kuat. UMNO kuat boleh menang, insya-Allah. Tapi bimbang takut UMNO kalah di Johor.

“Lalu kami mengambil strategi biar UMNO. Kita sebagai pasukan sampingan untuk menampung kekurangan,” katanya.

Mengulas situasi di Negeri Sembilan, Hadi mendakwa keadaan politik di negeri itu lebih mencabar berbanding Johor.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat usaha untuk menukar kerajaan negeri menerusi undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN), namun usaha itu gagal selepas dua wakil daripada Bersatu menarik diri.

“Negeri Sembilan lebih bahaya daripada Johor.

“Kami ambil langkah untuk buat undi kepercayaan Dewan Negeri di mana 14 daripada UMNO bergabung dengan lima daripada Perikatan Nasional, tiga PAS dan dua Bersatu boleh tukar kerajaan.

“Malangnya dua daripada Bersatu dia tarik, gagal,” katanya.

Beliau turut menggesa pengundi, khususnya golongan muda, memberikan sokongan kepada PN pada PRN Negeri Sembilan kerana menurutnya perjuangan gabungan itu bukan hanya untuk pilihan raya kali ini, tetapi demi masa depan negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img