KERAJAAN Persekutuan mengumumkan beberapa ikhtiar penting demi meringankan beban sara hidup rakyat serta memperkukuh hubungan strategik bersama Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan Amanat Hari Malaysia berkata, antara langkah utama yang diumumkan termasuk pelaksanaan hak pemberian khas kepada Sarawak dengan bayaran interim dinaikkan kepada RM1.5 bilion setahun.

Selain itu, kata beliau, penambahbaikan ikhtiar BUDI Diesel bagi membantu golongan sasaran dengan pemilik berdaftar yang memiliki lebih dari satu kenderaan dibenarkan memindahkan kelayakan maksimum tiga kenderaan berkuat kuasa serta merta.

Di samping itu, Anwar berkata, pengenalan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan domestik secara sekali beri (one-off) sebanyak RM500 bagi pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak.

“Pengumuman ini sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mengangkat dan menterjemahkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai waad nasional menerusi penghormatan terhadap hak serta kepentingan kedua-dua negeri berkenaan,” kata Perdana Menteri dalam hantaran Amanat Sambutan Hari Malaysia 2026 di Facebooknya malam ini.

Perkara itu turut diumumkan beliau ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di Kuching malam ini.
Tetamu kehormat sambutan itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi. Yang turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 turut hadir.
Perdana Menteri menambah, langkah baharu ini dijangka memberi manfaat terus kepada rakyat, di samping memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung kekal melangkah bersama dalam kerangka Persekutuan menuju kehidupan yang lebih sejahtera serta bermaruah.
Dalam perkembangan berkaitan MA63, Anwar berkata, sebanyak 13 perkara sudah dimuktamadkan, dengan sembilan daripadanya diselesaikan di bawah Kerajaan MADANI.
Menurutnya, antara perkara yang sudah dilaksanakan ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Sarawak sebagai jabatan teknikal, selain meletakkan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Turut dilaksanakan, kata Anwar, adalah penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, pemilikan Pelabuhan Bintulu oleh Sarawak serta penyerahan MASWings kepada Sarawak untuk dijenamakan semula sebagai AirBorneo.





