KERAJAAN Persekutuan bersetuju menaikkan pemberian khas kepada Sarawak kepada RM1.5 bilion secara interim, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas semangat setiakawan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh pelaksanaan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Perdana Menteri, keputusan itu juga dibuat atas semangat setiakawan, persahabatan dan semangat Malaysia, selain mengambil kira kedudukan serta kemampuan kewangan negara.
“Saya ulangi keyakinan Kerajaan Persekutuan bahawa kerajaan Sarawak mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk mengurus serta mengendalikan Pelabuhan Bintulu dengan cekap dan sebaiknya, Insya-Allah.
“Untuk Sarawak, semangat setiakawan, Sarawak RM1.5 bilion,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching malam ini.
Tetamu kehormat sambutan itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi. Yang turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 turut hadir.
Pengumuman itu menyusuli keputusan kerajaan menaikkan pemberian khas interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion setahun, berbanding RM600 juta sebelum ini.
Pada 12 September lalu, Anwar dilaporkan mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan segera pemberian khas kepada Sabah kepada RM1.5 bilion sebagai langkah interim sementara rundingan mengenai formula baharu pemberian berkenaan diteruskan.
Menurut Perdana Menteri, jumlah pemberian khas untuk Sabah itu dijangka disalurkan tahun ini selepas kertas berkaitan dibentangkan di Parlimen pada Oktober, dengan pembayaran dijangka dibuat selewat-lewatnya akhir Oktober atau awal November.
Pemberian khas berkenaan merupakan antara perkara yang diberi perhatian dalam usaha memenuhi hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam MA63.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, rundingan berkaitan pemberian khas itu akan terus dilaksanakan sambil menegaskan bahawa perkara yang masih belum selesai boleh dibincangkan dan diselesaikan melalui rundingan yang baik.
“Itu rahsia persahabatan dan rundingan yang baik. Tidak ada masalah tidak boleh dielakkan dan diselesaikan.
“Semangat rundingan dan kerjasama itu penting bagi memastikan perkara yang masih belum selesai dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.
Untuk rekod, isu pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah merupakan antara perkara yang termaktub di bawah MA63 dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan pemberian khas kepada kedua-dua negeri berkenaan.
Pemberian tersebut sepatutnya tertakluk kepada semakan setiap lima tahun, namun bayaran berkenaan tidak dilaksanakan secara konsisten oleh Kerajaan Persekutuan sejak beberapa dekad lalu.
Bayaran pertama kepada Sarawak dibuat pada 1965 sebanyak RM4 juta sebelum digandakan kepada RM8 juta pada 1966, manakala pada 1969, jumlah berkenaan meningkat kepada RM16 juta.
Pemberian khas itu mula dinaikkan secara interim oleh Kerajaan Persekutuan pada 2023 apabila Anwar mengumumkan RM300 juta masing-masing kepada Sarawak dan Sabah, sebelum kadar itu dinaikkan kepada RM600 juta mulai 2025 dan kini RM1.5 bilion bagi Sabah dan Sarawak sebagai bayaran interim.





