Penyelia pembersihan didakwa rompak tiga pemegang UNHCR

SEORANG penyelia syarikat pembersihan didakwa merompak tiga lelaki pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam tiga kejadian berasingan di Taman Perling, Johor Bahru, bulan lalu dan bulan ini.

Muhammad Haziq Mohd Rizar, 26, turut didakwa mencederakan seorang lelaki Rohingya dalam kejadian berasingan di kawasan sama.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim dan Majistret A Shaarmini, hari ini.

Bagi tiga pertuduhan rompakan, tertuduh didakwa merampas anak kunci motosikal Honda C100, mesin rumput, serangkai kunci motosikal, kad UNHCR serta mesin pemotong dahan pokok milik mangsa.

Ketiga-tiga perbuatan itu didakwa berlaku di Jalan Pekaka 3 dan Jalan Pekaka 5, Taman Perling, masing-masing pada jam 1.50 tengah hari dan 2.30 petang, 26 Ogos lalu serta di sebuah taman permainan di Jalan Layang 12 pada jam 10 pagi, 9 September lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, Muhammad Haziq didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki Rohingya di tepi padang permainan Jalan Layang 3, Taman Perling, pada jam 11.30 pagi, 9 September lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam, Shamira Mohd Luthfi Ismail dan Anis Shafeeqah Shariffudin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias dan Jason Nazrin Tan.

Mahkamah menetapkan jaminan keseluruhan RM16,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan sebutan semula pada 8 serta 28 Oktober depan, lapor BH.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here