KERAJAAN tidak akan mempertimbangkan permohonan lesen baharu bagi perniagaan yang menjalankan aktiviti sama atau seumpamanya dengan syarikat sedia ada sekiranya operasi berkenaan berpotensi meningkatkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu antara usaha mengawal jumlah pekerja asing, selain memastikan industri menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan, khususnya lebih 400,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata, Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 2.6 juta pekerja asing, namun jumlah itu masih belum menunjukkan penurunan seperti disasarkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, situasi itu antara lain berpunca daripada kebergantungan syarikat yang telah beroperasi selama 10 hingga 20 tahun di negara ini terhadap tenaga kerja asing.
“Kalau kita dah mula menukar kuota 20 peratus kepada pekerja asing dan 80 peratus kepada pekerja tempatan, tetapi sekarang ini terbalik, 80 peratus industri memerlukan pekerja asing, manakala 20 peratus sahaja pekerja tempatan.
“Jadi, kita analisa perkara ini. Sekarang negara sudah mempunyai 2.6 juta pekerja asing,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, keadaan itu perlu diperbetulkan supaya peluang pekerjaan dalam sektor industri dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat tempatan, terutama graduan TVET yang memiliki kemahiran bersesuaian dengan keperluan pasaran.
Bagaimanapun, beliau berkata, amalan sesetengah majikan menawarkan gaji kepada graduan TVET pada kadar sama seperti pekerja asing menyebabkan pekerjaan berkenaan kurang menarik kepada tenaga kerja tempatan.
Katanya, walaupun kerajaan telah menetapkan gaji minimum RM1,700, masih terdapat majikan yang tidak menawarkan kadar upah lebih baik kepada pekerja tempatan berkemahiran.
Malah, katanya, terdapat graduan TVET yang ditempatkan di kawasan penempatan pekerja asing, tetapi perlu menanggung kos sewa sendiri sekiranya memilih untuk tinggal di luar kawasan berkenaan.
“Jadi, banyak isu ini sebenarnya berlegar daripada dasar dan polisi kita yang terlalu fleksibel,” katanya.
Sehubungan itu, Johari berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberi penjelasan kepada pihak industri berhubung dasar pengambilan pekerja asing.
Beliau berkata, pengambilan pekerja asing masih dibenarkan, namun perlu dihadkan kepada sektor pekerjaan berbahaya, sukar dan kotor (3D).
“Kalau nak pakai pekerja asing boleh, tetapi dengan syarat hanya untuk pekerjaan 3D. Yang lain ini kena bayar (gaji yang bersesuaian),” katanya.





