POLIS mengesahkan pemandu van syarikat keselamatan yang terbabit dalam kes cubaan rompak di Klang meninggal dunia akibat serangan jantung semasa proses diambil keterangan, malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, mangsa seorang warga tempatan berumur 43 tahun itu bukanlah individu tular diacukan pistol oleh suspek dalam kejadian di Bandar Bukit Tinggi, Klang.
“Saya sahkan maklumat itu. Memang ada kes kematian seorang daripada petugas keselamatan ketika sedang ditemubual di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
“Semasa temubual, mangsa rebah dan pengsan. Seterusnya apabila dibawa ke hospital, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Tambahnya, bedah siasat selesai dijalankan semalam dan setakat ini punca akibat masalah jantung.
“Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu van, bukan individu yang tular dengan suspek di luar van,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini belum ada tangkapan.
Media sebelum ini melaporkan pengawal keselamatan menggagalkan cubaan rompakan oleh seorang lelaki membabitkan wang tunai RM82,000 di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin.
Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika pekerja syarikat keselamatan sedang melaksanakan pemindahan wang ke dalam van.






