SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke menggesa semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan meletakkan jawatan sekiranya mereka tidak lagi mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, semua anggota exco terlibat baru sahaja mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz pada awal Ogos lalu, susulan pembentukan kerajaan baharu pasca PRN Negeri Sembilan.
Ahli Parlimen Seremban itu turut mempersoalkan punca kuasa exco untuk mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz serta seorang pengganti berkuat kuasa serta-merta.
“Sekiranya mereka kini tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, maka atas prinsip dan maruah, mereka sewajarnya meletakkan jawatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Loke turut menekankan DAP kekal berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta menegaskan keluhuran undang-undang dan institusi diraja mesti dipertahankan.
Semalam, exco Negeri Sembilan menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 19 April lalu adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.
Menteri Besar Ismail Lasim hari ini mengesahkan keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat exco pada Selasa dan berkata setiausaha kerajaan negeri diminta meneruskan proses pewartaan proklamasi berkenaan mengikut peraturan berkaitan.
Bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan keputusan Exco itu tidak mempunyai kesan undang-undang kerana perkara berkaitan pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar berada dalam bidang kuasanya di bawah Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
DKU turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar.





