Shuhaily kembali bertugas, pengerusikan mesyuarat AKPS

KETUA Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali menjalankan tugas hari ini selepas bercuti minggu lalu dengan mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bil 3/2026.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi AKPS, mesyuarat itu menghimpunkan pegawai kanan serta komander pintu masuk agensi berkenaan bagi membincangkan perancangan Gerak Atur 2027.

Perbincangan memberi tumpuan kepada pengukuhan hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.

AKPS memaklumkan, mesyuarat berkenaan menjadi platform penyelarasan gerak kerja bagi memastikan kecekapan operasi agensi itu terus dipertingkatkan.

Selain itu, aspek integriti dan keselamatan di semua pintu masuk negara turut diberi penekanan selaras dengan komitmen AKPS memperkukuh kawalan sempadan.

Mesyuarat berkenaan juga mencerminkan kesinambungan agenda strategik agensi itu bagi memastikan pelaksanaan tanggungjawabnya berjalan lancar dalam menghadapi cabaran operasi sepanjang 2027.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan membuat keputusan mengembalikan Mohd Shuhaily yang berkhidmat di AKPS menerusi kontrak peminjaman kader kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan mengesahkan keputusan itu dibuat baru-baru ini.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 28 September lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman antara jam 1.27 petang hingga 1.35 petang berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1 KLIA.

Beliau turut berdepan pertuduhan sama terhadap Muhammad Ekmal Sofwan Dirman di lokasi dan dalam tempoh masa berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here