420 kes jenayah dipadankan menerusi analisis DNA PDRM

SEBANYAK 420 kes padanan atau hit cases direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi penggunaan teknologi analisis DNA dalam membantu siasatan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya memberi harapan kepada keluarga mangsa untuk memperoleh keadilan.

“Pelaburan ini telah membuahkan hasil apabila PDRM berjaya merekodkan 420 kes padanan atau hit cases. Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi ia mewakili harapan keluarga mangsa yang akhirnya memperoleh keadilan,” katanya selepas merasmikan Simposium Forensik Kebangsaan bagi Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) 2026 di Maktab PDRM, hari ini, lapor Buletin TV3.

Khalid berkata, pencapaian itu hasil pemerkasaan Makmal Analisis DNA PDRM termasuk menerusi peruntukan RM11.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi melengkapkan makmal berkenaan dengan peralatan teknologi terkini.

Bagaimanapun, katanya, PDRM masih berdepan cabaran apabila terdapat 297,085 sampel backlog bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Sehubungan itu, pewujudan jawatan fleksibel bagi Juruanalisis Makmal Analisis DNA PDRM dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan analisis bahan biologi dapat dilaksanakan dengan lebih cekap serta menepati piawaian antarabangsa.

Pada masa sama, kecerdasan buatan (AI) turut dimanfaatkan dalam siasatan forensik bagi membantu menghubungkan bukti antara kes, individu dan lokasi kejadian.

Khalid berkata, penggunaan teknologi berkenaan membantu PDRM menghubungkan bukti daripada sesuatu kes dengan bahan bukti lain yang diperoleh sepanjang siasatan.

“Kita berjaya menyatukan eviden-eviden teknologi ini dengan apa yang kita ada, kita dapat menyelesaikan masalah itu sendiri,” katanya.

Tambahnya, PDRM memerlukan pertambahan logistik dan peralatan bagi meningkatkan keupayaan forensik, bukan sahaja untuk menangani kes semasa, malah menghadapi jenayah masa hadapan yang semakin kompleks.

“Kita memerlukan pertambahan logistik, peralatan dan sebagainya yang saya percaya mungkin dapat membantu lebih banyak lagi kita menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan siasatan PDRM dan juga daripada jabatan-jabatan yang lain,” katanya.

Khalid berkata, kerjasama rentas agensi penting bagi memastikan kepakaran serta teknologi forensik dapat dimanfaatkan secara menyeluruh dalam membantu penyelesaian kes jenayah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here