KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh digesa menjelaskan perkembangan terkini 55 projek pembangunan negeri yang dilaporkan masih belum dimulakan, sebelum memohon mandat baharu daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar berkata, rakyat berhak mengetahui sejauh mana pelaksanaan projek berkenaan selepas hampir 17 bulan sejak statusnya diumumkan pada Jun 2025.
Beliau berkata, penjelasan terbuka perlu diberikan bagi membolehkan rakyat menilai prestasi kerajaan negeri berdasarkan pencapaian sebenar, bukannya sekadar pengumuman mengenai perancangan pembangunan.
“Pada 10 Jun 2025, Ketua Menteri memaklumkan bahawa daripada keseluruhan 241 projek pembangunan negeri, sebanyak 86 projek telah siap, 100 sedang dilaksanakan, manakala 55 projek masih belum bermula.
“Ini bermakna hampir satu daripada empat projek pembangunan negeri belum dimulakan ketika pengumuman tersebut dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sivamalar, persoalan mengenai keupayaan pelaksanaan projek turut timbul apabila rekod sehingga 31 Mei 2025 menunjukkan hanya RM19.52 juta atau 22.18 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan negeri berjumlah RM88 juta telah dibelanjakan.
Katanya, kerajaan negeri perlu mengemukakan angka terbaharu bagi menjelaskan sama ada kesemua projek berkenaan sudah dimulakan, disiapkan atau masih berdepan kelewatan.
“Angka-angka ini menggambarkan kedudukan pada tahun 2025. Namun, selepas hampir 17 bulan, rakyat wajar diberikan gambaran terkini tentang kemajuan sebenar pelaksanaan projek-projek tersebut.
“Adakah kesemua 55 projek itu kini telah dimulakan? Berapa yang sudah siap? Berapa yang masih tertangguh?” soalnya.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana projek pembangunan lazimnya melibatkan keperluan penduduk, termasuk penyediaan kemudahan awam, infrastruktur dan prasarana yang sepatutnya memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Menurutnya, kelewatan menyiapkan projek bukan sekadar melibatkan angka dalam laporan pentadbiran, sebaliknya boleh menjejaskan penduduk yang menantikan kemudahan berkenaan.
Sivamalar mengakui pelaksanaan projek kerajaan mungkin berdepan pelbagai cabaran seperti proses perolehan, kelulusan teknikal, isu tanah, masalah kontraktor serta kelewatan penyaluran peruntukan.
Bagaimanapun, katanya, faktor berkenaan tidak seharusnya dijadikan alasan berterusan tanpa penjelasan dan langkah penyelesaian yang konkrit.
“Selaku Ketua Menteri, Ab Rauf bertanggungjawab memastikan penyelarasan antara agensi berjalan dengan berkesan dan setiap halangan pelaksanaan ditangani secara proaktif,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri mendedahkan senarai lengkap 55 projek berkenaan berserta lokasi, nilai peruntukan, agensi pelaksana, jadual asal, status terkini dan sasaran tarikh siap bagi projek yang masih belum diselesaikan.
Kerajaan negeri juga perlu memperincikan kedudukan peruntukan yang diluluskan, jumlah dana yang telah disalurkan serta perbelanjaan sebenar supaya prestasi pelaksanaan dapat dinilai berdasarkan maklumat yang telus.
“Jika projek-projek tersebut sudah siap, tunjukkan hasilnya kepada rakyat. Jika masih tertangguh, jelaskan puncanya dan bentangkan pelan penyelesaiannya.
“Ini bukan soal mencari kesalahan semata-mata. Ini soal kebertanggungjawaban dalam mengurus wang rakyat dan memastikan setiap peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” katanya.





