KEMELUT proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terus tegang apabila Menteri Besar Datuk Ismail Lasim mengesahkan proklamasi diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco), Selasa lalu.
Pada masa sama, Dewan Undang Khas (DUK) pula menegaskan Tuanku Muhriz kekal sah sebagai Yang Dipertua Besar Negeri Sembilan.
Bercakap kepada wartawan di Seremban hari ini, Ismail berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diminta meneruskan proses mewartakan proklamasi itu mengikut peraturan sedia ada.
“Saya ingin mengesahkan proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan semua ahli exco kerajaan negeri secara sebulat suara pada mesyuarat exco 15 Sept lalu,” katanya yang tidak menerima pertanyaan daripada media.
Penegasan Ismail itu mencetuskan persoalan apakah kesudahan kemelut berkenaan memandangkan DUK terus bertegas menolak keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang didakwa mengiktiraf pemerintah baharu.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang Dipertua Dewan (DKU) kekal selagi jawatan itu dipegang secara sah.
“Dewan menegaskan semula bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua Dewan. Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” katanya satu menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, pendirian itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta ketetapan Dewan.
Beliau berkata, DKU turut mengalu-alukan kenyataan Ismail pada 15 September lalu yang menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
“Kesahan serta kesan proklamasi itu hendaklah ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman. Pendirian ini adalah selaras dengan UUTKNS 1959 dan dengan ketetapan Dewan,” katanya.
Raja Norazli berkata, berdasarkan Perkara 16 UUTKNS 1959, persoalan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan jawatan Yang Dipertuan Besar serta Undang terletak dalam bidang kuasa DKU.
“Menurut Perkara 16 (3) UUTKNS 1959, nasihat Dewan mengenai persoalan sedemikian adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.
“MMK dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi itu atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan dokumen bertajuk ‘Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil 6 Tahun 2026’ bertarikh 16 September lalu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang, setakat mana ia bertujuan mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan Yang Dipertuan Besar baharu dan mengarahkan pelaksanaannya serta-merta.
Katanya, dokumen itu menyentuh perkara di luar bidang kuasa MMK dan bertentangan dengan ketetapan DKU yang mengikat.
“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.
Raja Norazli berkata, DKU turut menegaskan semula pendiriannya bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah cacat dan terbatal.
Semalam, Exco kerajaan negeri menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.
Menurutnya, proklamasi 19 April ditandatangani serta dicop mohor oleh Undang Luak yang menurutnya sah dan berkuat kuasa.
Bagaimanapun, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan Raja Norazli Raja Nordin hari ini menegaskan keputusan Exco negeri itu tidak mempunyai kesan undang-undang kerana perkara itu di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
Menurutnya, perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar serta Undang, terletak dalam bidang kuasanya menurut Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Raja Norazli juga berkata pegawai kerajaan negeri tidak dikehendaki bertindak atas arahan untuk menurunkan Tuanku Muhriz dari takhta kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan UUTKNS serta ketetapan dewan.





