EMPAT kerajaan negeri (SG4) tidak perlu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) berasingan dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu bagaimanapun menyerahkan kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri di bawah pentadbiran mereka.
Beliau turut berpandangan, pendekatan mengadakannya serentak dengan PRU-16 dilihat lebih relevan.
“Tidak payah negeri lah, buat PRU terus. Buat semua sekali termasuk negeri-negeri.
“Buat sekali gus tidak cerewet sangat, lepas satu-satu (perlu mengundi), kasihanlah pada rakyat,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang hari ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ditanya mengenai saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya PN membuktikan keikhlasan kerjasama politik melalui agihan kerusi pada PRN dalam gabungan SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis).
Mohamad dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini dilaporkan berkata, PRN di satu negeri dalam gabungan SG4 khususnya Terengganu wajar dijadikan medan menguji keikhlasan rakan politik untuk menjalin kerjasama.
Pada PRU-15 lalu, Perlis yang ditadbir Barisan Nasional (BN) ketika itu mengadakan pilihan raya negeri serentak untuk kerusi Parlimen.
Kedah, Terengganu dan Kelantan pula mengadakan PRN serentak dengan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).




