UMNO akan melancarkan tabung sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayar denda RM50 juta yang membolehkannya menjalani baki tahanan di rumah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan mengajak kepimpinan, ahli dan penyokong UMNO serta orang ramai yang mahu memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela.
“Ia akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa,” kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 menerusi pengampunan bersyarat, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, pengampunan bersyarat itu boleh terbatal sekiranya Najib melanggar syarat ditetapkan, yang akan menyebabkan beliau perlu kembali menjalani baki hukuman di penjara.
Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kemudian dikurangkan kepada enam tahun dan RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan pada 2024.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO turut menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Menurutnya, pendirian UMNO sejak awal adalah membawa permohonan berkenaan melalui saluran ditetapkan dengan menghormati institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Saya menyeru seluruh ahli UMNO agar menyambut perkembangan ini dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan,” katanya.





