PENGAMAL media mula berkumpul di luar Penjara Kajang sejak jam 8 pagi ini bagi mengikuti perkembangan mengenai status bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tumpuan di Penjara Kajang itu kian ketara selepas Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) tengah hari tadi mengumumkan Najib mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Selain menunggu di luar Penjara Kajang, petugas media turut berkumpul di luar kediaman Najib di Langgak Duta, Kuala Lumpur sebaik sahaja Najib dibawa pulang untuk menjalani perintah tahanan di rumah.

Menurut kenyataan BHEUU, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Kenyataan itu turut menyebut, Najib juga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan jika gagal mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan bersyarat itu terbatal serta beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara pagi ini. Mesyuarat berkenaan sebelum ini ditangguhkan pada 11 September.
Sementara itu, puluhan petugas media mula berkumpul di hadapan Penjara Kajang menantikan bekas Perdana Menteri itu keluar dari penjara untuk pulang menjalani tahanan di rumah.
Bagaimanapun, belum ada pengesahan mengenai bila Najib akan dipindahkan daripada Penjara Kajang untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Di Langgak Duta pula, puluhan petugas media turut berkumpul di di luar kediaman bekas Perdana Menteri itu dalam cuaca hujan menantikan kemungkinan beliau akan dibawa pulang hari ini.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Lembaga Pengampunan pada Januari 2024 mengurangkan hukuman asal 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Pada Disember 2025, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Beliau sedang merayu terhadap sabitan itu.





