UMNO lancar Tabung Solidariti Najib Razak kumpul RM50 juta

UMNO hari ini melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan susulan perkembangan terkini serta dizahirkan sebagai tanda keprihatinan dan solidariti keluarga UMNO serta rakyat Malaysia yang mahu memberikan sokongan kepada Najib.

“Inisiatif YAB Presiden ini dizahirkan sebagai tanda keprihatinan dan solidariti seluruh keluarga UMNO serta rakyat Malaysia yang ingin bersama-sama memberikan sokongan kepada Dato’ Sri Najib Razak yang banyak jasanya pada negara,” menurut kenyataan beliau yang dimuat naik dalam Facebook beliau hari ini.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) tengah hari tadi mengumumkan Najib mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Menurut kenyataan BHEUU, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Kenyataan itu turut menyebut, Najib juga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan jika gagal mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan bersyarat itu terbatal serta beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.

Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan dalam kes SRC International, termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Pada Januari 2024, hukuman penjaranya dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut Asyraf Wajdi, kepimpinan, ahli parti serta seluruh masyarakat dijemput menyumbang secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing melalui saluran rasmi yang disediakan Ibu Pejabat UMNO Malaysia.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), CIMB Islamic, nombor akaun 8604886094.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here