DATUK Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menangani bencana jerebu yang semakin membimbangkan, selain kerajaan terus berikhtiar mencari jalan penyelesaian demi kemaslahatan semua.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, beliau turut menunaikan solat hajat bersama dengan kariah sejurus menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10 di Putrajaya hari ini bagi memohon pertolongan Allah SWT agar negara segera disembuhkan daripada bencana itu.

Beliau pada masa sama mengajak rakyat untuk mengurus penggunaan tenaga dengan cermat.
“Saya juga mahu mengajak kesemua kita untuk sama-sama mengurus penggunaan tenaga pada saat ini, dengan secermat yang mungkin agar setiap kita memainkan peranan sebaiknya, di samping saya di pihak kerajaan bekerja terus membela dan melindungi semua,” kata beliau dalam hantaran itu.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyeru semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat serta doa, bagi memohon perlindungan Allah SWT daripada masalah jerebu yang sedang melanda negara.
Seruan itu dibuat berikutan keadaan jerebu yang menjejaskan beberapa kawasan di negara ini, dengan masyarakat dinasihatkan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pencemaran udara.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) sebanyak 32 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 5 petang ini, dengan Sarawak merekodkan jumlah kawasan tidak sihat tertinggi iaitu lapan kawasan meliputi Kuching (174), Samarahan (167), IPD Serian (166), Sibu (162), Bintulu (161), Sarikei (155), Sri Aman (154) dan Kapit (153).





