MALAYSIA dan Indonesia sepakat menjalinkan kerjasama bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara beberapa negara serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau membincangkan isu terbabit dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika berada di New Delhi, India baru-baru ini.
“Ya, memang ada dibangkitkan… kita akan bekerjasama untuk mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Rasmi Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.
Perdana Menteri ditanya mengenai pertemuannya dengan Prabowo ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS Ke-18 di New Delhi, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Anwar enggan mengulas lanjut pertemuan itu kerana bergegas ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia.
Sementara itu, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan oleh Kerajaan Sarawak adalah proses melalui rundingan antara kedua-dua pihak sebelum dimuktamadkan pada Jun lalu.
Pada 21 Jun lalu, Kerajaan Sarawak menyelesaikan bayaran berjumlah RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi proses pemindahan hak milik, aset dan tanggungjawab berkaitan pelabuhan berkenaan.
Pengurusan dan pentadbiran Pelabuhan Bintulu kemudian secara rasmi diambil alih Kerajaan Sarawak mulai 1 September lalu, selepas penamatan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu berkuat kuasa 31 Ogos.
Penyerahan rasmi pelabuhan itu pada hari ini disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dengan disaksikan Anwar dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Peralihan Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri itu dilihat sebagai antara perkembangan penting dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain mencerminkan kerjasama serta persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak.





