Netanyahu terus seksa rakyat Palestin, arah Lintasan Rafah terus ditutup, bantuan tidak boleh masuk

Arahan NetanyaHU  berlaku ketika situasi kemanusiaan di Gaza kekal amat kritikal, dengan hospital berdepan kesukaran untuk beroperasi dan ribuan keluarga pelarian masih menunggu bantuan

KEDUTAAN Palestin di Kaherah mengumumkan bahawa Lintasan Rafah akan dibuka semula pada Isnin bagi membolehkan rakyat Palestin yang terkandas di Mesir pulang ke Gaza. Kedutaan itu berkata lintasan tersebut akan beroperasi mengikut mekanisme penyelarasan biasa yang digunakan untuk perjalanan antara Mesir dan Gaza.

Namun, hanya sejam kemudian, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang kini dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang di Gaza, mengarahkan lintasan itu kekal ditutup sehingga diberitahu kelak, dalam satu tindakan yang jelas melanggar perjanjian gencatan senjata.

Dalam satu kenyataan, pejabat Netanyahu berkata pembukaan semula Rafah bergantung kepada “bagaimana Hamas menunaikan bahagiannya dalam memulangkan tebusan dan melaksanakan kerangka perjanjian yang telah dipersetujui.”

Pada masa sama Israel terus menghalang kemasukan peralatan yang diperlukan untuk operasi mencari dan menyelamat. Keputusan Netanyahu itu secara efektif menyekat ribuan rakyat Palestin, termasuk pesakit dan pelajar, daripada pulang ke tanah air mereka.

Gerakan penentangan Hamas mengecam arahan Netanyahu, menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap syarat gencatan senjata dan penafian terhadap komitmen Israel kepada para perantara dan negara penjamin.”

Hamas memberi amaran bahawa penutupan Rafah akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza. Penutupan itu, kata kumpulan itu, menghalang pemindahan orang awam yang cedera, menjejaskan kemasukan peralatan perubatan dan alat penyelamat, serta melambatkan kerja-kerja mencari, mengeluarkan dan mengenal pasti mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan.

Kenyataan itu menambah bahawa Israel telah melakukan lebih daripada 47 pelanggaran gencatan senjata yang didokumenkan sejak gencatan bermula. Serangan-serangan ini telah mengorbankan 38 rakyat Palestin dan mencederakan sekurang-kurangnya 143 yang lain.

“Penjajah terus melakukan pencerobohan dan sekatan terhadap lebih dua juta rakyat Palestin di Gaza. Penjenayah perang Netanyahu mencipta alasan palsu untuk menggagalkan perjanjian dan mengelak daripada menunaikan tanggungjawabnya,” kata Hamas.

Hamas menyeru para perantara dan negara penjamin untuk segera campur tangan dan menekan Israel supaya membuka semula Lintasan Rafah serta mematuhi sepenuhnya syarat-syarat gencatan senjata.

Penutupan ini berlaku ketika situasi kemanusiaan di Gaza kekal amat kritikal, dengan hospital berdepan kesukaran untuk beroperasi dan ribuan keluarga pelarian masih menunggu bantuan serta pemindahan perubatan.

 


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img