PRN Johor: Puad Zarkashi tidak akan pertahankan DUN Rengit

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung 11 Julai ini.

Beliau berkata, keputusan itu difikirkannya sejak setahun lalu dan hasrat berkenaan turut dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kira-kira dua minggu lalu.

Menurutnya, faktor usia menjadi pertimbangan utama untuk beliau tidak lagi menawarkan diri sebagai calon selepas lebih empat tahun berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit.

“Saya kini berusia 69 tahun. Jika terus bertanding dan berkhidmat untuk satu penggal lagi, usia saya akan mencecah 74 tahun.

“Pada saya, tidak sesuai lagi pada usia tersebut untuk bertanding kerusi DUN. Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi wajar diberi peluang memimpin barisan muda untuk bertanding dan menerajui kerajaan negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berpandangan calon berusia 50 tahun ke bawah lebih sesuai untuk diketengahkan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan negeri pada masa depan.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, beliau turut mengemukakan beberapa kriteria calon pelapis yang perlu diberi perhatian oleh kepimpinan parti.

“Calon yang dipilih mestilah berkelulusan, berakhlak, komited terhadap perjuangan parti serta memahami hala tuju bangsa.

“Saya harap Datuk Onn Hafiz dapat mempertimbangkan dan melaksanakannya,” katanya.

Sebelum proses penamaan calon berlangsung, Mohd Puad berkata, masih ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan dan diberi perhatian.

Beliau juga menghargai sokongan diberikan rakyat Rengit sepanjang tempoh perkhidmatannya, selain menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan lantikannya sebagai Speaker DUN Johor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail atas nasihat dan bimbingan yang diberikan sepanjang mengendali perjalanan sidang DUN Johor agar berlangsung tertib dan lancar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img