Latihan baling grenad dihentikan serta-merta sehingga siasatan insiden letupan selesai – PTD

TENTERA Darat Malaysia (TDM) menghentikan serta-merta pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), susulan kejadian letupan yang berlaku di Kem Hobart, Gurun yang mengorbankan dua anggotanya semalam.

Latihan berkenaan dihentikan bagi memberi ruang sepenuhnya kepada siasatan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata, latihan berkenaan dihentikan serta-merta untuk semua cabang perkhidmatan dalam TDM.

“Siasatan ini akan dikendalikan oleh pegawai bertauliah dari Lembaga Siasatan termasuk Unit Bahagian Letupan dan Bom. Ia dijangka mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan.

“Sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkenaan demi menjamin keselamatan warga TDM dan keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara amnya,” katanya hari ini, lapor BH.

TDM semalam mengesahkan dua anggota maut selepas terlibat dalam insiden letupan semasa latihan membaling grenad dalam Latihan Platun Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri di Kem Hobart kira-kira jam 10.57 pagi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip daripada Skuadron Pertama RAJD.

Kedua-dua anggota dilaporkan mengalami kecederaan akibat letupan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Azhan dalam pada itu berkata, pada masa ini pihaknya belum dapat memberikan perincian lanjut mengenai punca insiden letupan berkenaan.

“Pada masa ini, punca kejadian sedang dikenal pasti oleh Lembaga Siasatan yang telah ditubuhkan. Setelah itu tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil penemuan siasatan itu,” katanya.

Beliau berkata, TDM turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Norazmi Abu Bakar dan Allahyarham Prebet Siti Khadijah Sungip yang terkorban dalam kejadian itu.

“Bantuan sepenuhnya diberikan kepada keluarga termasuklah pampasan yang layak diterima,” katanya.

Perincian berhubung bantuan bagaimanapun tidak dapat didedahkan kerana ia maklumat sulit.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img