STATUS kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dihadapi Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kekal tidak berubah walaupun bekas Perdana Menteri itu diberikan pengampunan bersyarat, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman.
Katanya, setiap kes perlu dikendalikan secara berasingan mengikut isu dan siasatan yang terlibat.
“Bagi pihak kami, kes-kes yang masih tertangguh akan kekal seperti biasa. Seperti yang ada sekarang, status quo kekal,” katanya lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengampunan bersyarat diberikan kepada Najib akan memberikan kesan terhadap kes 1MDB dan rayuan yang masih berjalan.
Abd. Halim berkata, sesuatu kes tidak boleh disamakan dengan kes yang lain kerana setiap siasatan melibatkan tuduhan dan isu berlainan.
“Kita perlu faham bahawa setiap kes adalah berbeza antara satu sama lain. Ia tidak boleh dikendalikan sebagai kes yang sama dan kes-kes itu berbeza memandangkan sesuatu siasatan itu ditujukan kepada apa yang sedang disiasat, berhubung isu tertentu yang dibangkitkan atau aduan yang dibuat,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara.





