SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan ketua setiausaha (KSU) kementerian itu membabitkan isu kelewatan bekalan baja di Kedah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata keterangan Mohamad dirakam 16 September lalu, manakala KSU sehari sebelum itu.
Setakat ini, kata beliau, 37 saksi telah dipanggil dan keterangan mereka dirakam bagi membantu siasatan yang dimulakan 26 Ogos lalu berhubung pelantikan sebuah syarikat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Siasatan masih berlangsung, namun sudah sampai ke penghujung dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya pada sidang media di Kajang.
Beliau berkata, SPRM akan mengambil keterangan beberapa saksi lagi bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menggunakan dokumen yang diketahui atau dipercayai palsu.
Abd Halim memberitahu, SPRM setakat ini percaya terdapat unsur jenayah dan isu berkaitan tadbir urus dalam kes itu, namun lebih menumpukan aspek kriminaliti.
“Kita ketepikan dahulu isu tadbir urus kerana kita fokus kepada aspek kriminaliti. Bagaimanapun, saya tidak boleh komen lebih daripada itu kerana penyiasatan masih berlangsung.”
Sebelum ini, siasatan awal SPRM mendapati sebuah syarikat sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja, tetapi hanya 333,655 beg baja dibekalkan sehingga bulan ini, kekurangan 282,360 beg.
Kertas siasatan dibuka selepas menerima aduan berhubung dakwaan kegagalan syarikat pembekal baja dilantik KPKM untuk membekal baja menerusi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda.





