SEORANG lelaki maut selepas Perodua Alza dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Sungai Tong, di Setiu, malam tadi.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata mangsa, Mohd Assfarizal Salim, 44, dari Taman Balok, Kuantan, Pahang, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika pemandu treler dalam perjalanan dari arah Jertih menghala ke Kuantan, manakala mangsa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.
“Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler di bahagian hadapan sebelah kanan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Setiu, manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan.
Katanya, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 4.10 pagi sebelum mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 013-6706156.





