Hujan lebat di ibu negara: Beberapa laluan terjejas banjir kilat

HUJAN lebat yang melanda ibu negara petang tadi mengakibatkan beberapa lokasi dinaiki air, sekali gus menjejaskan kelancaran arus lalu lintas di laluan utama.

Kejadian banjir kilat tersebut memaksa pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan masing-masing, manakala beberapa klip video serta gambar yang tular dalam media sosial memaparkan kenderaan awam termasuk sebuah bas meredah air bertakung selain beberapa kenderaan tersadai di tepi jalan.

TANGKAP layar video tular banjir kilat di ibu negara, petang tadi. GAMBAR: Facebook Noris Mohd Nasir

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat di beberapa sektor dan sedang memantau situasi sebelum mengeluarkan laporan terperinci.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan banjir kilat di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) arah barat dari Pandan Makmur menuju ke Pandan Indah sekitar jam 5.29 petang.

SEBUAH kenderaan terkandas dalam banjir kilat di ibu negara, petang tadi. GAMBAR: Facebook Noris Mohd Nasir

Menurut LLM, insiden itu menyebabkan lorong kiri dan tengah terhalang, manakala aliran trafik dilencongkan ke lorong kanan sehingga menyebabkan kesesakan.

Selain limpahan air, LLM turut mengesan kejadian pokok tumbang di Kilometer 14.8 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dari Damansara ke Subang pada jam 5.44 petang yang menyekat lorong kecemasan serta sebahagian lorong kiri.

Para pemandu dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengurangkan kelajuan, dan berhati-hati ketika melalui kawasan yang terjejas akibat takungan air mahu pun halangan di atas jalan raya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here