DUA buah kenderaan rosak akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Taman Sejati, Sungai Petani tengah malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.35 tengah malam.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Sezali Hassan tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Setiba di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang dan menghempap dua buah kenderaan iaitu Proton X50 dan Honda Civic. Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, bomba menggunakan dua unit gergaji berantai memotong dahan pokok berkenaan dalam operasi yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani yang tamat sepenuhnya jam 1.09 pagi.






