POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan penglibatan kanak-kanak seawal usia 13 tahun dalam menghasilkan kandungan animasi berunsur pornografi untuk diedarkan atau dijual secara dalam talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, perkara itu dikesan susulan penahanan lapan kanak-kanak berusia antara 13 hingga 18 tahun dalam operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 14 hingga 16 September lalu.
Katanya, siasatan mendapati sebahagian kanak-kanak terbabit bukan sahaja memuat turun bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), malah menghasilkan sendiri kandungan animasi sebelum diedarkan atau dijual secara dalam talian.
“Ada suspek yang menjadi lebih kreatif dengan menghasilkan animasi anime sendiri sebelum menjual kandungan tersebut di pasaran menggunakan kaedah pembayaran seperti e-dompet dan PayPal.
“Trend ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan penglibatan aktif dalam penghasilan kandungan… bukan sekadar penggunaan,” katanya pada sidang media Ops Pedo Bersepadu 3.0 di Bukit Aman, hari ini, lapor Astro Awani.
Menurutnya, antara suspek termuda yang ditahan ialah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
“Siasatan mendapati sebahagian kanak-kanak terbabit memperoleh pengetahuan berkaitan aktiviti tersebut menerusi platform dalam talian,” katanya.
Kumar berkata, kanak-kanak yang terlibat lazimnya berinteraksi dalam komuniti maya yang mempunyai minat dan kecenderungan sama sebelum berkongsi bahan atau maklumat sesama mereka.
Katanya, pengaruh media sosial, akses internet tanpa kawalan serta teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) berpotensi menyumbang kepada perkembangan trend berkenaan.
“Sebab itu pemantauan berterusan oleh ibu bapa sangat penting kerana kanak-kanak hari ini lebih terdedah dan lebih mahir menggunakan teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi untuk membendung jenayah berkenaan, sebaliknya memerlukan usaha berterusan membabitkan keluarga, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.
Menurutnya, kerjasama semua pihak penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian serta melindungi kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa atau terlibat dalam aktiviti eksploitasi seksual dalam talian.




