FAM sahkan Mohd Joehari letak jawatan, Mohd Yuoff pangku jawatan Presiden FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub melahirkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM.

Dalam kenyataannya FAM memberitahu, Mohd Joehari menyatakan demikian  menerusi surat peletakan jawatan yang dihantar baru-baru ini.

Justeru, Jawatankuasa Eksekutif FAM dipanggil untuk mesyuarat khas kedua penggal 2025-2029 di Wisma FAM Kelana Jaya, hari ini, dipengerusikan Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, bagi membincangkan perkara tersebut.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM meneliti hasrat Datuk Joehari dalam mesyuarat berkenaan dan akhirnya akur untuk menerima peletakan jawatan Presiden FAM bagi menghormati keputusan beliau.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM berasa terharu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Datuk Joehari atas segala sumbangan, jasa, dedikasi dan komitmen beliau sepanjang bersama FAM sejak dipilih sebagai Naib Presiden pada 2017 dan seterusnya Presiden pada 15 Feb 2025,” kata kenyataan itu.

FAM pada masa sama mendoakan agar Mohd Joehari sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara.

Sebelum ini, Mohd Joehari memegang jawatan Naib Presiden dan merupakan Presiden FAM kelapan serta individu pertama dari Sabah yang menerajui badan induk bola sepak negara itu, menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Mohd Joehari dilantik menggantikan Hamidin selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025–2029, Februari lalu.

Dalam pada itu, FAM memaklumkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif mereka telah bersetuju menamakan Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan peruntukan dalam Statut FAM.

“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan Presiden kosong, Timbalan Presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga Kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.

“Kongres tersebut akan memilih Presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, usaha pihak media untuk mendapatkan reaksi daripada ahli Jawatankuasa FAM mengenai peletakan jawatan Mohd Joehari tidak membuahkan hasil.

Selain itu, media yang menunggu sejak pukul 9 pagi tidak dibenarkan memasuki Wisma FAM bagi membuat liputan mesyuarat khas tersebut.

Walaupun beberapa kenderaan dipercayai dinaiki ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dilihat masuk, tiada seorang pun yang berhenti untuk memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media.

— BERNAMA



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img