GEMPA bumi lemah berukuran 4.4 skala Richter melanda perairan Batu Pahat pada jam 4.55 petang hari ini, dengan gegaran dirasai di daerah berkenaan dan kawasan sekitarnya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pusat gempa berada 27 kilometer barat daya Batu Pahat pada kedalaman 10 kilometer.
MetMalaysia akan terus memantau keadaan.
Menurut panduan jabatan itu, Semenanjung Malaysia boleh mengalami gempa bumi tempatan yang berkaitan dengan sesar aktif, manakala gegaran di sepanjang pantai barat juga boleh berpunca daripada gempa bumi besar di Sumatera dan Laut Andaman.





